Bintang Real Madrid, Eden Hazard, berkata dia menolak tawaran Paris-Saint Germain (PSG) beberapa kali dan tidak akan menyertai juara Ligue 1 itu.

Pemain antarabangsa Belgium itu mendakwa dia sering menjelaskan hanya akan kembali ke pentas bola sepak Perancis untuk menyertai bekas kelabnya, Lille, yang diwakili sebelum menyertai berhijrah ke Chelsea pada 2012.

PSG dikaitkan dengan perpindahan Hazard sebelum penggempur itu memilih Real menerusi yuran berjumlah EUR100 juta (RM461 juta) musim panas lalu.

"Tidak, tak akan," katanya kepada L'Equipe sewaktu ditanya jika dia akan menyertai PSG.

"Mereka sering mahu mendapatkan saya. Saya tidak mahu kembali ke Ligue 1 dan bersama kelab selain Lille.

"Saya sentiasa katakan tidak kepada mereka. Ia sangat jelas.

"Mereka adalah kelab yang mampu membantu anda memenangi Liga Juara-Juara Eropah tetapi PSG bukan dalam perancangan saya. Jika kembali ke Ligue 1, ia adalah Lille."

Hazard bergelut untuk memberikan impak sebenar di Sepanyol sejak tiba daripada Chelsea, Jun lalu.

Pemain berusia 28 tahun itu hanya menyumbat satu gol daripada lapan penampilan dalam semua kejohanan serta dikritik kerana didakwa mengalami berat badan berlebihan.

Minggu ini, Hazard menafikan dakwaan tersebut, dengan memberitahu Sky Sports: "Untuk bulan terakhir, saya berada dalam keadaan bagus tanpa sebarang kecederaan.

"Saya dalam keadaan baik. Apabila berada di atas padang, saya akan berikan yang terbaik tidak kira bersama Real atau Belgium. Saya hanya mahu teruskan momentum ini."

Esok, skuad Los Blancos itu akan melayan kunjungan Real Sociedad sebelum berdepan PSG bagi saingan Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu, Selasa ini.