Pengurus Belgium, Roberto Martinez, berpendapat bahawa Eden Hazard adalah seorang pemain yang membuatkan bola sepak menjadi indah sambil memuji perwatakannya sebagai kapten.

Hazard menikmati saingan Piala Dunia di Russia dengan menjaringkan dua gol serta dua bantuan jaringan dalam tiga perlawanan.

Persembahannya telah membantu Belgium melangkah ke suku akhir dan akan bertemu Brazil di Kazan, awal pagi esok.

Bagaimanapun, antara elemen dalam persembahannya yang mungkin tidak disedari ramai adalah pengaruhnya sebagai ketua dan perkara itu ternyata membuatkan Martinez sangat kagum sejak tiba di Russia.

"Dia menjadi kapten sebenar, sentiasa menjadi diri sendiri," kata Martinez.

"Apa yang anda sukakan tentangnya adalah permainan serta mentaliti yang dipamerkan sentiasa sama, tidak kira apa kedudukan perlawanan dan siapa lawan. Dia sentiasa mahu mendapatkan bola.

"Tahap permainannya berada di tahap tertinggi. Hazard sangat hebat ketika menyerang, menjadi ketua yang diperlukan oleh setiap pasukan.

"Kami adalah sebuah pasukan dan beraksi di peringkat antarabangsa tentunya sukar. Dia memainkan peranan sebenar sebagai ketua.

"Anda melihat banyak ketua pasukan di dalam pasukan. Apabila melihat Hazard menikmati aksi bola sepak, dia menjadikannya sesuatu yang indah, sentiasa memberikan senyuman."