Eden Hazard bakal terlepas pertembungan 'El Clasico' pada 19 Disember ini selepas Real Madrid mengesahkan dia mengalami keretakan kecil di pergelangan kakinya.

Hazard terpaksa dikeluarkan ketika terikat 2-2 dengan Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara (UCL) lewat bulan lalu selain memerlukan bantuan ketika terhincut-hincut keluar dari padang.

Pengurus, Zinedine Zidane, melahirkan kebimbangannya selepas perlawanan itu dan yakin ia "lebih sekadar kecederaan kecil", namun imbasan awal mencadangkan Hazard hanya mengalami lebam.

Begitupun, laporan media meningkatkan kebimbangan terhadap situasi Hazard itu berikutan pemain lincah berkenaan masih memerlukan tongkat untuk berjalan.

Madrid kemudian menghantar Hazard untuk menjalani ujian lanjut lalu mengesan keretakan kecil berkenaan.

Walaupun kelab itu tidak dapat mengesahkan berapa lamakah pemain berkenaan akan tersisih, kecederaan seperti itu biasanya akan mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan untuk pulih dan laporan media menganggap Hazard bakal terlepas pertemuan El Clasico.

Madrid akan menghadapi Barca di Camp Nou pada 19 Disember ini ekoran penundaan perlawanan itu yang sepatutnya diadakan pada 26 Oktober lalu ekoran pergolakan politik di wilayah Catalonia.

Marcelo juga dalam keraguan bagi perlawanan itu selepas Madrid mengesahkan dia mengalami kecederaan betis.

Walaupun isu tersebut tidak begitu serius seperti Hazard, akhbar Marca yang berpangkalan di Madrid, menganggarkan dia bakal berehat selama tiga minggu.

Madrid dan Barca terikat 31 mata daripada 14 perlawanan LaLiga, satu mata mendahului Sevilla yang dibimbing bekas pengurus Los Blancos, Julen Lopetegui, yang telah beraksi dalam 15 perlawanan.

Menjelang pertemuan El Clasico berkenaan, Madrid akan menghadapi Espanyol dan Valencia dalam saingan tempatan selain berkunjung ke Club Brugge dalam UCL.