Kai Havertz tidak akan diturunkan untuk mengelak sebarang risiko dalam aksi separuh akhir DFB-Pokal menentang Saarbrucken selepas disahkan Peter Bosz, semalam.

Pemain tengah sensasi, Havertz, diketepikan dalam kekalahan 4-2 di tangan pendahulu Bundesliga, Bayern Munich, ekorang kecederaan otot.

Pemain Jerman itu menjadi kunci utama Leverkusen bagi musim 2019-20, meledakkan 15 gol dan mencatat lapan bantuan jaringan daripada 38 penampilan bagi semua kejohanan.

Namun, Havertz -- yang dikaitkan dengan Bayern, Liverpool, Manchester United dan Barcelona -- tidak akan diturunkan dalam pertemuan menentang wakil divisyen empat, Saarbrucken, awal pagi esok sebagai langkah berjaga-jaga tatkala mereka memburu slot kelayakan Liga Juara-Juara Eropah.

"Aksi ini terlalu awal untuknya. Dia tidak akan berada dalam skuad," kata pengendali Leverkusen, Bosz.

"Kesediaannya untuk beraksi menjadi persoalan. Dia boleh bermain tetapi kami tidak mahu mengambil risiko.

"Kami harap dia menjadi lebih baik dan dapat turun menentang Schalke, Ahad nanti. Kami perlu tunggu."

Leverkusen kini selangkah ke final keempat dalam sejarah dan kali pertama sejak 2009 tatkala mereka hanya menjulang trofi itu pada 1993.

"Ia membuktikan betapa penting untuk memenangi kejuaraan yang kami perkatakan ketika ini," tambah Bosz.

"1993 sudah lama dan sebab itu, pemain, jurulatih dan seluruh kelab mahu meraih trofi semula. DFB-Pokal tampak mampu dijulang."