BELGIUM 9 GIBRALTAR 0

Tiga jaringan daripada Thomas Meunier dan Romelu Lukaku membantu Belgium meraih tiga mata dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 selepas membelasah Gibraltar 9-0 dalam aksi di Stadium Maurice Dufrasne, awal pagi tadi.


Belgium yang berada di tangga pertama Kumpulan H turun dengan misi meraih mata penuh bagi memastikan peluang beraksi di Russia pada tahun depan terjamin.

Dries Mertens membuka tirai jaringan pada minit ke-16 selepas hantaran lintangnya gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Gibraltar, Deren Ibrahim, menyebabkan bola bergolek masuk ke dalam gawang sebelum Meunier menambah gol kedua selang dua minit kemudian.

Lukaku mencatat nama dalam senarai penjaring sebanyak dua kali dan dua gol masing-masing daripada Eden Hazard dan Axel Witsel memberikan pendahuluan 6-0 dalam babak pertama buat Belgium.

Meunier menambah gol kedua peribadi pada minit ke-61 sebelum sepakan separuh voli dari sebelah kanan melengkapkan hatriknya tujuh minit kemudian untuk menjadikan kedudukan 8-0.

Lukaku turut mencipta hatrik pada minit ke-84 selepas menyempurnakan sepakan penalti menewaskan Ibrahim.

Kemenangan itu terus menyaksikan Belgium di tangga teratas Kumpulan H dengan 19 mata hasil daripada tujuh perlawanan dan bakal mengesahkan tempat dalam saingan tahun depan jika berjaya menundukkan Greece, Isnin depan.