INTER MILAN 3 AC MILAN 2

Inter Milan meneruskan kecemerlangan pada musim ini selepas menundukkan musuh tradisi yang juga jiran setempat, AC Milan, 3-2 dalam aksi kelapan Serie A di San Siro, awal pagi tadi.


Jaringan hatrik daripada penyerang Argentina, Mauro Icardi, menafikan kebangkitan dua kali Milan untuk memastikan tuan rumah meraih kemenangan ketujuh, musim ini.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, skuad kendalian Luciano Spalletti bermula garang apabila hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-12, namun sepakan lambung Antonio Candreva sekadar singgah ke palang tatkala penjaga gol, Gianluigi Donnarumma, telah tertewas.

Usaha bertali arus Inter akhirnya berhasil apabila Icardi menampan bola masuk ke gawang selepas menerima umpanan Candreva dari sebelah kanan untuk membolehkan Inter mendahului 1-0 pada minit ke-28.

Pelawat hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-43 menerusi Fabio Borini, yang menyaksikan rembatan leretnya ditampan oleh penjaga gol, Samir Handanovic, sebelum tandukan susulan Borini tersasar ke sebelah kiri gol Inter.

Bersambung babak kedua, Milan tampak lebih mendominasi perlawanan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi bekas pemain Liverpool, Suso.

Selepas memperdayakan seorang benteng tuan rumah, pemain dari Sepanyol itu melepaskan rembatan kaki kiri yang melencong ke penjuru gol tuan rumah untuk mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-56.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Icardi kembali meletakkan Nerazzuri kembali di depan, tujuh minit kemudian, selepas melepaskan sepakan separa voli hasil hantaran lintang Ivan Perisic untuk menggamatkan suasana di San Siro.

Biarpun ketinggalan, skuad kendalian Vincenzo Montella tidak berputus asa untuk terus mencari gol penyamaan dan usaha itu berhasil ketika permainan berbaki sembilan minit.

Handanovic yang berada dalam keadaan tidak bersedia untuk menghalang percubaan Giacomo Bonaventura gagal menampan bola dengan kemas sehingga membiarkan bola melintasi garisan gol.

Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan 2-2, tuan rumah dianugerahkan sepakan penalti pada minit terakhir perlawanan selepas Ricardo Rodriguez didakwa menarik Danilo D'Ambrosio di dalam kotak penalti.

Icardi yang telah mengutip dua gol dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menjaringkan gol ke-87 sepanjang bersama Inter dan menjadikan kedudukan 3-2.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat, sekaligus melebarkan rekod tanpa kalah tuan rumah selepas lapan perlawanan.

Inter Milan kini menduduki tangga kedua liga dengan 22 mata, dua mata di belakang pendahulu, Napoli, sementara juara bertahan, Juventus, di tangga ketiga dengan 19 mata.