Juara bertahan, Kelantan, mara ke suku akhir selepas menumpaskan Perlis 5-0 dalam acara bola sepak senior Pesta Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (MSKPPM) Ke-45 di Padang Kolej Vokasional Ampang, Paroi, Negeri Sembilan, pagi tadi.

Kelantan dihadiahkan sepakan penalti seawal minit pertama apabila penyerang berbisanya, Harizan Hamid, dijatuhkan pertahanan Perlis. Penjaga gol Kelantan, Nik Idzane Fahmi Nik Azhar, tenang menyempurnakannya.

Harizan terus membuktikan sentuhannya cukup tajam di depan gol apabila menjaringkan hatrik pada minit ke-22, 29 dan 31 untuk Kelantan selesa mendahului 4-0.

Dalam aksi babak kedua, Kelantan mendapatkan gol kelima melalui rembatan cantik pemain tengah, Salimi Deraman, pada minit ke-48.

Pengurus Kelantan, Mohd Eriszarizi Mohd Deris, yang berpuas hati dengan kemenangan besar ke atas Perlis, berkata: "Syukur kepada Allah kerana kami berjaya mengalahkan Perlis dan layak ke suku akhir sebagai naib johan Kumpulan A.

"Pemain sudah berikan yang terbaik dan kemenangan besar ini tidak akan melalaikan kami dalam cubaan mencipta kejayaan di peringkat suku akhir bertemu Perak," katanya.