Dua legenda bola sepak negara yang menjulang Malaysia mara ke Sukan Olimpik Moscow 1980, Datuk Hassan Sani dan Datuk James Wong, memiliki pandangan berbeza tentang siapa yang wajar memimpin skuad bola sepak negara.

Bagi mereka, sudah tiba masanya bola sepak Malaysia beralih ke fasa lebih dinamik, sejajar dengan perubahan tampuk kepemimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Tetapi, kedua-dua legenda itu enggan FAM terburu-buru dalam memburu kejayaan, sebaliknya mengharapkan badan induk bola sepak negara itu membina pasukan kebangsaan yang bersedia untuk ke Piala Dunia 2026.

"Kami perlukan individu seperti Tunku Mahkota Johor (Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang memiliki pandangan lebih besar serta komitmen untuk mengubah senario bola sepak Malaysia," kata Wong.

Wong melihat pengambilan jurulatih tempatan bukan satu isu sekiranya individu itu memiliki ciri-ciri yang tepat.

"Jika jurulatih tempatan memiliki pengalaman dan kemampuan, saya rasa tiada salahnya jika kita menggunakan tenaga kerja jurulatih tempatan."

Dalam pada itu, Hassan mempunyai pandangan berbeza siapa wajar membimbing skuad kebangsaan.

Katanya, khidmat jurulatih luar lebih diperlukan bagi menyuntik senario baru dalam skuad negara.

"Ada baiknya kalau kita mengambil jurulatih luar negara bagi meningkatkan mutu bola sepak negara."