Ketua jurulatih Kelantan, Mohd Hashim Mustapha, yakin pemainnya tidak menghadapi sebarang tekanan biarpun dianggap pasukan pilihan menjelang perlawanan akhir pertama Piala Presiden bertemu T-Team di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, malam ini.

“Alhamdulillah…skuad yang dibentuk dengan serba kekurangan ini mampu melayakkan diri ke final dan saya anggapnya sebagai bonus.

"Sudah pasti kami ingin kekalkan kejuaraan Piala Presiden ini di Kelantan.

“Bagi saya, tekanan macam biasa sahaja. Patut soalan itu ditujukan kepada Jurulatih T-Team (Nafuzi Zain) kerana dia yang telah membantu Kelantan menjuarai piala ini tahun lepas.

"Kami akan mencari bekalan selesa dalam aksi pertama di tempat sendiri supaya lebih yakin beraksi di tempat lawan nanti,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.

Mohd Hashim yang juga bekas penyerang skuad kebangsaan menjelaskan skuad The President Wariors bebas daripada sebarang kecederaan serius untuk menghadapi final di gelanggang sendiri.

Dalam pada itu, mereka masih menunggu lampu hijau daripada pihak pengurusan Liga Super Kelantan untuk menurunkan kapten, Faris Shah Rosli.

“Ya..skuad ini tidak hadapi sebarang masalah kecederaan yang serius. Cuma, kami tidak dapat menurunkan Shahrul Hakim Rahim yang masih dalam proses pemulihan.

"Kami juga masih menunggu kehadiran kapten, Faris Shah Rosli, yang masih belum diberi lampu hijau oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan untuk turun beraksi dalam final pusingan pertama ini,” katanya.

The President Warriors mara ke final dan berpeluang mempertahankan kejuaraan dua tahun berturut-turut apabila menyingkirkan Selangor 3-1 secara agregat dalam separuh akhir.