Ketua jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha, yakin keputusan seri 1-1 menentang T-Team dalam aksi pusingan pertama final Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin, tidak akan menjejaskan semangat juang pemainnya untuk turun ke gelanggang lawan 25 Oktober depan bagi mempertahankan kejuaraan.

“Alhamdulillah, saya berpuas hati kerana kami tidak tewas. Kami masih ada 90 minit. Cuma pemain saya pilih jalan yang sukar.

"Kalau dua peluang keemasan berjaya disudahkan penyerang, Nik Azli Nik Alias, dalam separuh masa pertama, sudah pasti kami ke Terengganu dengan bekalan lebih selesa.

“Mereka (T-Team) pernah kalah dengan Johor Darul Ta'zim III (JDT III), di tempat sendiri pada suku akhir pertama, dan saya berharap kami mampu untuk mengikut jejak skuad JDT III menewaskan mereka di Kuala Terengganu,” katanya.

Hashim yang juga bekas penyerang skuad kebangsaan meluahkan rasa terkilannya dengan tiga kad kuning yang dilayangkan pengadil , Ismail Asib Md Amin, kepada pemainnya akibat kekasaran yang dilakukan tetapi tindakan sama tidak dikenakan kepada T-Team.

“Saya kehilangan dua pemain utama untuk beraksi di Kuala Terengganu akibat kad kuning. Sedikit terkilan kerana daripada pihak T-Team tidak ada seorang pun pemain dapat kad.

"Pada pandangan mata kasar saya, ada beberapa pemain yang patut dilayangkan kad akibat kekasaran yang dilakukan. Cuma kami akur kerana pengadil adalah raja dan lebih arif,” katanya.

Dalam aksi sengit malam kelmarin, The President Warriors berjaya mendahului melalui sepakan percuma cantik yang diambil oleh penyerang sensasinya, Mohd Danial Ashraf Abdullah pada minit ke-55, menewaskan penjaga gol T-Team, Mohd Asyraf Azmi.

Kebihan satu gol pantas dipadamkan pemain tengah T-Team, Engku Muhd Shakir Engku Yakob, yang menanduk cantik bola, memerangkap penjaga gol kebangsaan bawah 22, Ahmad Syihan Hazmi pada minit ke-64.

Kelantan terus menggandakan serangan untuk mencari gol kemenangan, malangnya benteng pertahanan T-Team yang diketuai ketua pasukan, Aqil Irfanuddin Sabri, kental bertahan.