Ketua jurulatih Kelantan, Mohd Hashim Mustapha, mahu anak buahnya menjaringkan gol awal bagi memberi tekanan kepada tuan rumah, Terengganu, dalam separuh akhir pertama Piala Presiden di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, petang ini.

Katanya, barisan serangan The President Warriors (TRW) yang akan diketuai penjaring terbanyak kejohanan, Nik Azli Nik Alias, perlu lebih tajam di depan gol bagi mencari jaringan awal.

“Kami perlu mencari gol awal untuk memberi tekanan kepada Terengganu. Barisan pertahanan tidak boleh leka dan perlu fokus sepanjang 90 minit permainan.

“Bagaimanapun, saya sedar sebagai tuan rumah, Terengganu juga inginkan kemenangan di gelanggang sendiri untuk membawa bekalan selesa ke Kota Bharu bagi pusingan kedua. Kami yakin mampu memberikan yang terbaik,” katanya.

Mohd Hashim juga menjelaskan skuad The President Wariors (TPW) cukup mengenali corak persembahan Terenganu kerana pernah bertemu dua kali dalam kumpulan A.

“Kami dari kumpulan yang sama. Kelantan seri 2-2 di sini (Kuala Terengganu) tetapi kalah 3-4 di Kota Bharu. Itu sudah menjadi sejarah dan petang ini, dengan kekuatan yang Kelantan ada, kami mampu balik dengan bekalan selesa,” katanya.

Untuk rekod, skuad TPW mara ke separuh akhir apabila menyingkirkan Negeri Sembilan menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan apabila seri 2-2 manakala Terengganu menyingkirkan pasukan adik, T-Team, dengan agregat 3-2.