Malaysia akan menguji Papua New Guinea dalam aksi persahabatan terakhir pada 14 November di Stadium Shah Alam sebelum berlepas mengharungi Piala AFF di Yangon, Myanmar.

Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong kim Swee, menyifatkan satu aksi persahabatan sudah mencukupi dalam mencari ilham siapa yang bakal berada dalam kesebelasan utamanya.

Tidak mengambil peduli terhadap apa jua pandangan orang ramai, dia meramalkan aksi berkualiti mampu dijelmakan Papua New Guinea, yang kini berada di ranking ke-159 dunia.

Lebih mustahak, Kim Swee mahu pemain mengambil kesempatan dengan mempamerkan prestasi terbaik dalam perlawanan berkenaan jika mahu berada di dalam senarai 20 pemain yang akan ke Yangon.

"Saya berasakan perlawanan persahabatan itu mencukupi, di mana sebelum ini kami telah beraksi menentang Singapura, Afghanistan, dan Indonesia.

"Saya rasa ia mencukupi sebelum beraksi menentang Kemboja kerana selepas itu kami mempunyai lebih banyak perlawanan," ujar Kim Swee.

Dalam sesi latihan hari pertama skuad kebangsaan, seramai 18 pemain melaporkan diri kecuali pemain Selangor dan Kedah.

Hanya tiga pemain, Irfan Fazail, Ahmad Khuzaimi Piee dan Nazirul Naim Che Hashim, tidak dapat menjalani latihan ekoran masalah kecederaan.

"Irfan dan Nazirul mengalami kecederaan yang tidak serius. Mereka tidak bersama pasukan.

"Mereka tidak mengalami kecederaan yang baru, ia cuma sebagai langkah berjaga-jaga kerana mereka mengalami sedikit hentakan pada kecederaan tersebut dalam perlawanan terakhir mereka."