Pemain tengah Harimau Malaysia, Ahmad Fakri Saarani, tidak menunjukkan kebimbangan dengan situasi semasa skuad negara memandangkan penilaian sebenar adalah pada penghujung tahun ini dalam saingan Piala AFF Suzuki.

Fakri membayangkan magis 2010 mampu berulang, ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang tidak yakin dengan kemampuan skuad kebangsaan untuk muncul juara dalam kejohanan itu tahun ini.

Katanya, sejak 2010, skuad bola sepak negara tidak pernah diberikan sebarang harapan untuk menyerlah dalam kejohanan berkenaan, bagaimanapun, tekanan itulah yang membawa kepada kejayaan negara.

"Pada tahun 2010, semua pihak tidak meletakkan harapan pada kami. Jadi, kami menyahut cabaran itu dan kami buktikan dengan muncul juara.

"Tahun ini, banyak masalah timbul dengan beberapa pemain yang kami perlukan telah bersara.

"Saya mengakui kami terasa dengan kehilangan pemain tonggak seperti Aidil Zafuan (Abdul Radzak), Safiq Rahim dan S Kunanlan tetapi perkara itu bukan alasan untuk kami tidak berjuang sehabis mungkin," katanya.

Fakri berkata demikian ketika bersama beberapa rakan sepasukan Harimau Malaysia, termasuk Baddrol Bakhtiar, Adam Nor Azlin, Ronny Harun dan Ahmad Hazwan Bakri, meluangkan masa bersama peminat dalam program dianjurkan Team Malaysia (TM).

Kejohanan yang berlangsung dua tahun sekali itu akan dianjurkan secara bersama oleh Myanmar dan Filipina dengan sepak mula pada 19 November depan.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya yang kini dikenali sebagai Harimau Malaysia pernah muncul juara Piala AFF Suzuki pada edisi 2010 selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2.

Pada 2012, Malaysia disingkirkan Thailand dalam separuh akhir dengan agregat 1-3, selepas terikat 1-1 dan tumpas 2-0.

Pada 2014, Malaysia tewas sekali lagi di tangan Thailand, menerusi agregat 3-4 selepas final kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil.