Harimau Malaysia elak aib di Shah Alam

Oleh Staff Writer 11 Oktober 2016 1
Harimau Malaysia elak aib di Shah Alam
MALAYSIA 1 AFGHANISTAN 1

Malaysia boleh menarik nafas lega apabila terikat 1-1 dengan pasukan di ranking ke-149 dunia, Afghanistan, dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam ini.   


Noroallah Amiri -- pemain tengah kelahiran Sweden yang beraksi di kelab negara itu, Trelleborgs FF -- menerima hantaran ke belakang yang disusulinya dengan sepakan lambung ketika Khairul Fahmi Che Mat terpaku memerhatikan bola menerjah ke gawang. 

Malaysia -- di ranking ke 158 -- hanya membuat serangan selepas 33 minit perlawanan, sebelum dihadiahkan sepakan percuma yang memberi peluang kepada Shahrul Saad untuk melakukan tandukan. Bagaimanapun, percubaan pertama negara itu sekadar melewati palang. 

Percubaan kedua skuad negara menerusi tandukan menghasilkan gol, apabila Hadin Azman menemui jurang kosong di sebelah kiri selepas menerima hantaran jauh daripada Matthew Davies pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Hadin yang memenangi perebutan di udara dengan pemain lawan turut menghalang pemandangan Ovays Azizi, sekali gus melambatkan penjaga gol itu untuk melayangkan badan.

Malaysia bermain lebih baik pada separuh kedua dengan banyak melakukan hantaran-hantaran lebih kemas ke arah kawasan lawan.

Datuk Ong Kim Swee melakukan dua pertukaran, memasukan Ahmad Hazwan Bakri bagi menggantikan Ahmad Fakri Saarani, dan Khuzaimi Piee menggantikan Nazirul Naim Che Hashim.

Di hujung perlawanan, Malaysia hampir-hampir menambah jaringan apabila sepakan Baddrol Bakhtiar yang memperoleh hantaran daripada Hadin, tepat ke arah Azizi.

Kekasaran Hazwan ke atas Arash Hatifie menarik perhatian pengadil, yang terus melayangkan kad kuning kepada penyerang Selangor itu.

Afghanistan lebih menunjukkan kesegeraan ketika perlawaan berbaki beberapa minit, tatkala Malaysia kelihatan berpuas hati dengan keputusan perlawanan yang berkesudahan 1-1. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen