Skuad kebangsaan bimbingan Nelo Vingada gagal memberi saingan kepada Korea Utara apabila ditundukkan 4-1 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium I-Mobile Buriram, Thailand, sebentar tadi.

Turun dengan misi untuk mencapai kemenangan pertama dalam perlawanan yang sudah tertangguh tiga kali itu sehingga terpaksa diadakan di gelanggang berkecuali, skuad negara sebaliknya dikejutkan dengan gol awal Pak Kwang-ryong pada minit ke-12.

Bola didakwa terkena tangan ketua pasukan, Fadhli Shas, untuk Kwang-ryong menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan pengadil, Mohamed Kamaka.

Harimau Malaya hampir menyamakan kedudukan selepas Ahmad Hazwan Bakri berjaya menyambut bola lambungan jauh daripada penjaga gol negara, Hafizul Hakim, namun penyerang negara itu sekadar melepaskan rembatan liar.

Pasukan lawan kemudian mengukuhkan kedudukan menerusi tandukan jarak dekat Kim Yu-song selepas Korea dihadiahkan sepakan percuma di sebelah kanan pintu gol Malaysia.

Anak buah Jorn Andersen itu hanya memerlukan tiga minit sebaik babak kedua bersambung untuk menambah jaringan menerusi Kim Yong-il sebelum penyerang yang berkelana ke Switzerland, Jong Il-gwan, menjadikan kedudukan 4-0.

Safawi Rasid kemudian menyumbat gol sagu hati buat Malaysia, namun masih gagal menyekat kekalahan terbesar skuad negara dalam kempen itu, sekaligus kekal menghuni tangga tercorot Kumpulan B tanpa sebarang kemenangan.

Kedua-dua pasukan akan berentap sekali lagi pada Isnin ini di venue yang sama.