MALAYSIA 1 KOREA UTARA 4

Hasrat Malaysia untuk menebus kekalahan 1-4 di tangan Korea Utara, Jumaat lalu, lebur selepas sekali lagi tewas dengan keputusan dan lawan sama dalam aksi kelima kelayakan Piala Asia 2019, sebentar tadi.


Beraksi di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand, Malaysia yang turun diketuai oleh kapten, Muhammad Shahrom Kalam, dikejutkan dengan dua gol awal ketika permainan baru berusia 20 minit.

Penyerang Korea Utara, Kim Yu Song, meletakkan skuad kendalian Jorn Andersen itu di depan pada minit ke-15 selepas menyempurnakan peluang hasil sepakan sudut dari sebelah kanan pintu gol Malaysia.

Lima minit kemudian, Yu Song sekali lagi mencatat nama dalam senarai penjaring apabila menolak bola masuk menewaskan penjaga gol kebangsaan, Muhammad Hafizul Hakim, untuk Korea selesa dengan kedudukan 2-0.

Yu Song yang bermain untuk pasukan April 25 Sports Club dalam Liga Korea Utara melengkapkan hatrik selepas menjaringkan gol ketiga pasukannya ketika babak pertama berbaki seminit untuk ditamatkan.

Rakan gandingan Yu Song di barisan depan Korea, Pak Kwang Ryong, menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-79 selepas menerima hantaran dari sebelah kanan untuk menambah kepedihan anak-anak buah Nelo Vingada.

Skrip aksi sebelum ini seakan-akan berulang semula apabila Malaysia meraih gol sagu hati ketika perlawanan berbaki lima minit untuk ditamatkan menerusi pemain sayap, Safawi Rasid, dan kedudukan 4-1 kekal sehingga tamat.

Kekalahan itu mengekalkan Harimau Malaya di dasar Kumpulan B dengan satu mata dan bakal melengkapkan jadual kelayakan dalam aksi terakhir menentang Lubnan, Mac tahun depan.


Foto kredit: Facebook FAMalaysia Official