Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, beranggapan desakan agar pengendali bola sepak negara, Nelo Vingada, meletak jawatan bukanlah satu penyelesaian terbaik yang boleh membantu pasukan.

Khairy mahu semua pihak menyedari tenatnya prestasi skuad bola sepak negara dan ia tidak seharusnya diletak sebagai kesalahan ke atas ketua jurulatih sepenuhnya.

Beliau tidak berasakan peletakan jawatan Vingada mampu menyelesaikan masalah kerana kelemahan sebenar terletak kepada aspek prestasi pemain itu sendiri.

Justeru, melahirkan pemain berkualiti daripada akar umbi adalah jalan terbaik untuk membentuk satu pasukan baru pada masa akan datang walaupun ia adalah alternatif yang memakan masa.

“Semua tahu sistem yang sedia ada perlu diperbaiki. Sistem ini sebenarnya sudah lama dah, sebab itu kami ada NFDP (Program Pembangunan Bolasepak Negara), kita ada pembangunan daripada FAM, perubahan yang dibuat FAM dan sebagainya.

"Jadi, semua ini akan mengambil masa. (Kalau) kita ambil siapa pun untuk menjadi jurulatih pasukan kebangsaan,ia tidak dapat menunjukkan peningkatan mendadak dalam jangka masa yang pendek,” katanya.

Khairy turut menolak cadangan pemain naturalisasi yang perlu berada dalam skuad negara untuk membantu pasukan.

“Kita hanya bagi kewarganegaraan atau kelayakan untuk mereka mewakili negara sekiranya mereka ada kaitan keluarga dengan Malaysia.

"Tetapi pendekatan yang diambil sepertimana negara-negara lain, yang memberikan mereka kelayakan mewakili negara tanpa ada kaitan dengan negara tersebut, Malaysia tidak akan amalkan pendekatan seperti itu,” katanya lagi.