Harimau Malaya perlu guna kepenatan Myanmar

Oleh Penulis Jemputan 19 November 2018 3234
Harimau Malaya perlu guna kepenatan Myanmar
"Kami kena ambil kesempatan terhadap kepenatan lawan."

Itu pesanan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, yang mahu pemainnya memanfaatkan waktu rehat selama lapan hari dalam misi mencari kemenangan penting ke atas Myanmar, Sabtu ini.

Myanmar bakal menentang skuad negara dengan hanya meraih tempoh rehat empat hari selepas mengharungi aksi sukar bertemu Vietnam, esok.

Tambah memeritkan buat lawan, aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti bakal menjadi perlawanan keempat berturut-turut buat Myanmar tanpa sebarang rehat panjang seperti dinikmati skuad negara.

Justeru, Cheng Hoe menganggap satu kerugian jika pemain melepaskan faktor kecergasan yang pasti memihak Harimau Malaya.

"Kami mesti mengambil kesempatan kali ini kerana daripada sains sukan, tiga atau empat perlawanan berturut-turut mungkin membuat mereka letih. Tempoh rehat seminggu ini cukup baik buat kami untuk berdepan Myanmar," katanya.

Dalam masa sama, Cheng Hoe tidak mahu persiapan pasukannya terjejas hanya kerana mahu menunggu keputusan perlawanan Myanmar dan Vietnam di Yangon.

Jika Myanmar menang, laluan penuh berduri pasti menanti anak buah Cheng Hoe.

"Bagi saya, kami lebih fokus tentang aksi berdepan Myanmar. Keputusan pertemuan Vietnam dan Myanmar memang memberi kesan kepada kami tetapi apa yang penting, kami harus fokus apabila berdepan mereka nanti."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen