Harimau Malaya, Korea Utara jumpa di Thailand 

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2017 1272
Harimau Malaya, Korea Utara jumpa di Thailand 
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan skuad Harimau Malaya akan beraksi di Thailand untuk dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara, bulan depan. 

Minggu lalu, AFC mengesahkan aksi Kumpulan B itu yang sudah tertunda sebanyak tiga kali -- dalam sembilan bulan -- itu akan dilangsungkan di gelanggang berkecuali.

Pengumuman ini dianggap satu kemenangan moral buat Malaysia selepas AFC menolak cadangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk beraksi di gelanggang berkecuali yang dikemukakan pada Mac lalu.

Malah, Korea Utara turut tidak berganjak daripada keputusan untuk mengadakan perlawanan di Pyongyang dengan menawarkan jaminan tahap keselamatan buat Malaysia.

AFC, menerusi kenyataan terbaru yang dikeluarkan hari ini, mengesahkan Thailand akan menjadi tuan rumah selepas mendapat persetujuan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) yang sudi untuk mengadakan kedua-dua perlawanan itu pada 10 dan 13 November depan. 

Menurut ketua jurulatih merangkap pengurus skuad kebangsaan, Nelo Vingada: "Pemain-pemain negara akan menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di Pyongyang. Jadi, venue di Thailand merupakan keputusan yang sangat strategik buat kedua-dua pasukan. 



"Kami tidak boleh berbuat apa-apa lagi dan ia satu keputusan yang baik oleh AFC."

Aksi pertama akan menyaksikan Korea Utara akan bertindak selaku tuan rumah sebelum Malaysia pula akan menjadi pasukan tuan rumah, tiga hari kemudian. 

Bagaimanapun, venue dan masa sepak mula perlawanan akan diumumkan dalam masa terdekat. 

"Safiq Rahim dan dan Aidil Zafuan Abdul Radzak akan menjalani penggantungan manakala Sharel Fikri Fauzi masih dibelenggu kecederaan. 

"Oleh itu, saya akan memanggil pemain lain dalam latihan pusat," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen