Hansi Flick berasakan ia 'hari yang berjaya' selepas Bayern Munich mengatasi Schalke untuk memanfaatkan kekalahan pendahulu Bundesliga, RB Leipzig.

Juara bertahan, Bayern, menang 5-0 di laman sendiri untuk merapatkan kedudukan dengan Leipzig, yang tewas 2-0 kepada Eintracht Frankfurt, yang kini sekadar terpisah dengan satu mata.

Pengurus Bayern, Flick, gembira dengan cara pasukannya menewaskan Schalke, pasukan yang turut berjuang untuk mengejar gelaran liga.

Robert Lewandowski, Thomas Muller, Leon Goretzka, Thiago Alcantara dan Serge Gnabry berjaya menemui sasaran.

"Ia sangat baik," kata Flick. "Schalke beraksi cemerlang dalam perlawanan pertama tahun ini berdepan Gladbach. Tetapi kami beraksi di laman sendiri dan mahu bermain dengan gaya kami, dengan falsafah kami.

"Kami mahu segera mematahkan semangat pasukan lawan, memberikan tekanan awal dengan menampilkan intensiti permainan yang tinggi. Kami melakukannya dengan baik, terutama sekali dalam separuh masa pertama.

"Ia sangat penting untuk kami meraih tiga mata. Ini menambah lagi keyakinan pasukan. Kualiti dalam skuad sungguh menakjubkan dan saya berpuas hati dengan persembahan pasukan.

"Sememangnya, ia adalah hari yang berjaya buat kami."

Muller, yang menjaringkan gol ke-100 di Allianz Arena, mencadangkan motivasi Bayern hadir daripada kekalahan Leipzig.

"Selepas Leipzig tewas, ia membantu pasukan. Selalunya, kami menampilkan permainan di tahap 100 peratus tetapi hari ini ia meningkat dua atau tiga peratus lagi.

"Sama seperti ketika berdepan Dortmund (menang 4-0 pada November lalu), kami tidak memberikan ruang kepada Schalke. Kami sangat gembira di atas kemenangan ini, kami bermain baik sebagai satu pasukan."




Editor: Ammar Hakim