Harapan Pogba untuk kembali beraksi tertangguh

Oleh Staff Writer 18 Disember 2019 740
Harapan Pogba untuk kembali beraksi tertangguh
Tempoh rehat panjang yang dilalui pemain tengah Manchester United, Paul Pogba, terpaksa dilanjutkan akibat masalah kesihatan, sekali gus bakal diketepikan dalam aksi suku akhir Piala EFL menentang Colchester United awal pagi esok.

Pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, mengesahkan perkhabaran itu tatkala pemenang Piala Dunia itu berdepan satu lagi halangan untuk kembali beraksi selepas berehat panjang akibat kecederaan buku lali.

Pogba, 26, telah terlepas 16 perlawanan dalam semua kejohanan sejak memperkuatkan kesebelasan utama United sewaktu diikat Arsenal 1-1, 30 September lalu.

Gambar pemain Perancis itu tersebar ketika menghadiri majlis perkahwinan abangnya, Florentin, Jumaat lalu walaupun dia dilaporkan menerima pelepasan daripada United sebelum pulang dengan masalah kesihatan.

"Dia tidak boleh beraksi akibat masalah kesihatan, jadi dia akan berehat selama dua atau tiga hari. Kemungkinan tiga hari, jadi ia tidak memudaratkan. Ia mungkin memberi kesan kepadanya," ujar Solskjaer.

"Sudah beberapa kali saya nyatakan bahawa Pogba merupakan pemain hebat yang ingin kami saksikan beraksi pada tahap terbaik bersama United.

"Kami cuma perlu memastikan tahap kecergasannya. Ia mungkin melibatkan tempoh setengah jam, 45 minit, 60 minit atau 90 minit dalam aksi pertama. Tiada siapa tahu tetapi kami berusaha keras untuk memastikannya kembali. Namun, dia kini mengalami masalah kesihatan."

Solskjaer mengakui kebijaksanaan Pogba dirindui sewaktu United menampilkan aksi hambar sehingga meletakkan mereka di tangga keenam liga selepas diikat Everton 1-1 hujung minggu lalu.

"Anda boleh sentiasa bercakap tentang Pogba," tambah pengendali dari Norway itu.

"Dalam aksi sebegini, sebagai contoh, apabila anda kekurangan hantaran kreatif, Pogba mempunyai kualiti yang tidak dimiliki ramai pemain tengah. Untuk menerima kehadirannya semula, ia sesuatu yang hebat."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen