Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, mengesahkan hanya Lembaga Pengarah FMLLP boleh meluluskan PKNS FC untuk beraksi pada musim depan seandainya Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) terus enggan memberikan lampu hijau.

Berbaki beberapa hari sebelum tarikh tutup penyertaan 9 Disember ini, PKNS masih menunggu penuh debar jawapan daripada FAS.

Ia berkaitan surat sokongan FAS kepada PKNS untuk penyertaan kelab itu dalam Liga Super tahun depan.

Tatkala PKNS sudah mula memikirkan cara lain untuk mendapatkan jalan penyelesaian, Kevin, bagaimanapun, menegaskan perkara itu di luar kemampuannya untuk menentukan sebarang pilihan kepada PKNS.

"Kami sudah memberi masa sehingga Jumaat depan. Jadi, kami masih menunggu lagi respon daripada kedua-dua pihak.

"Kalau ada apa-apa pilihan yang akan diberikan kepada PKNS, itu perlu ada kelulusan daripada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan Lembaga FMLLP. Saya sendiri tidak boleh beri apa-apa pilihan untuk PKNS," katanya.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada FAS berhubung tindakan mereka terhadap PKNS.

Sebaliknya, persatuan itu terus membisu apabila mengelak untuk memberi sebarang reaksi lanjut.

Kevin, bagaimanapun, yakin masalah itu dapat diselesaikan dengan cara baik tanpa memberi kesan kepada mana-mana pihak terlibat.

Pada 30 November lalu, FMLLP memberi peluang kepada PKNS untuk mendapatkan pelepasan daripada FAS dengan menganjak tarikh pendaftaran selama seminggu.

Penyertaan PKNS dalam saingan musim depan menimbulkan tanda tanya apabila FAS enggan memberi sokongan kepada kelab itu.

Mengikut Peraturan Pertandingan 4.1.3 (i) Peraturan Pertandingan Liga M 2013-2016, kelab memerlukan sokongan persatuan bola sepak negeri sebagai syarat penyertaan.