Pemain tengah Borussia Dortmund, Christian Pulisic, menganggap hanya langit mampu menjadi sempadan buat rakan sepasukannya, Jadon Sancho.

Sancho menghasilkan empat gol dan enam bantuan dalam 11 perlawanan yang membantu pasukannya itu muncul pendahulu Bundesliga musim ini.

Aksi cemerlang pemain berusia 18 tahun itu turut memberikannya peluang beraksi dalam skuad senior England, sekali gus menutup segala kritikan sebaik dia meninggalkan Manchester City pada 2017.

Pulisic -- seorang lagi pemain muda berbakat Dortmund -- percaya Sancho bakal mempunyai perjalanan karier yang hebat selepas ini.

"Hanya langit mampu menjadi sempadan buat Sancho," katanya kepada Sky Sports.

"Dia berbakat besar dan seorang pemain muda yang hebat.

"Kami selalu bergurau untuk menentang satu sama lain pada masa akan datang dan ia menyeronokkan.

"Kami selalu bersaing dalam sesi latihan dan amat baik untuk memiliki rakan sepasukan sepertinya."

Pulisic menambah kejayaan Sancho di Jerman adalah bukti kepentingan pemilihan yang bijak dalam karier seseorang pemain bola sepak.

"Adakalanya kami perlu mengambil risiko untuk memiliki sesuatu yang lebih baik.

"Saya juga melakukan perkara yang sama ketika mula berpindah ke Jerman dahulu.

"Saya gembira dengan apa yang dikecapinya sekarang dan berharap dia akan terus berkembang untuk menjadi lebih baik," katanya lagi.

Pulisic dan Sancho akan bertemu dalam aksi persahabatan antarabangsa di antara Amerika Syarikat dan England, awal pagi nanti.