Inter Milan merupakan satu-satunya pasukan yang mampu mengatasi Juventus selaku kuasa utama di pentas bola sepak Itali, kata bekas bintang Nerazzurri, Youri Djorkaeff.

Skuad kendalian Luciano Spalletti itu bakal bertandang ke Turin bagi aksi 'Derby d'Italia' dan berharap mampu merapatkan jurang 11 mata yang membezakan kedua-dua pasukan selepas 14 perlawanan.

Napoli dan AS Roma tampak mencabar kejuaraan liga dalam beberapa musim terakhir tetapi Djorkaeff yakin bekas majikannya itu adalah pasukan tunggal yang boleh menyingkirkan penguasaan juara bertahan tujuh musim itu.

"Bagi saya, ya kerana walaupun Juve banyak menang sebelum ini, mereka sedar bahawa hanya Inter yang mampu memberi cabaran buat mereka berdasarkan perwatakan dan skuad," ujar Djorkaeff.

"Roma, Napoli, Fiorentina serta AC Milan pernah mencuba tetapi aksi 'Derby d'Italia' sentiasa menarik memandangkan Inter adalah pasukan tunggal yang mampu mencabar Juve."

Juve dijangka meraih kejuaraan Scudetto kelapan berturut-turut selepas membawa masuk Cristiano Ronaldo daripada Real Madrid musim panas lalu.

Djorkaeff percaya bintang Portugal itu hanya memberikan kelebihan buat Serie A tetapi pemenang Piala Dunia 1998 dan EURO 2000 itu menolak bahawa Juventus merupakan pilihan memenangi Liga Juara-Juara Eropah.

"Satu penghormatan buat pemain yang mula hadir ke Manchester, kemudian ke Madrid dan kini Juventus kerana ia bukan sesuatu yang ramai pemain lakukan," tambah Djorkaeff.

"Buat Liga Itali, ia bagus kerana dia mengembalikan kegemilangan Serie A di mana ramai pemain hebat berada di sini. Lebih ramai pemain bagus patut beraksi di Itali. Ronaldo adalah seorang ketua yang dahagakan kejayaan dan mampu meningkatkan kelab.

"Liga Juara-Juara adalah saingan yang penuh tekanan. Hanya satu pasukan akan bergelar juara. Adakah Juventus? Saya tidak fikir begitu tetapi mereka memang berpeluang.

"Saya tidak rasa Juve akan memenanginya. Bagi saya, ada pasukan yang lebih baik seperti Manchester City dan Liverpool yang ketika ini sangat kuat. Ini adalah detik kelab England."