Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, menekankan 23 nama yang sudah ada dalam senarai akhir untuk dihantar ke Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hanya akan berubah jika ada kecederaan melibatkan pemain utama.

Hodak sudah meneliti prestasi 28 pemain yang melapor diri setakat ini dengan mengetepikan beberapa nama yang tidak bersama pasukan bagi aksi persahabatan di Qatar tempoh hari.

"Terdapat tiga atau empat pemain yang menyertai latihan bersama pasukan tetapi saya menegaskan senarai 23 nama pemain akan berubah jika berlaku kecederaan dalam kalangan barisan utama," kata Hodak.

Persediaan akhir dengan baki dua lagi aksi persahabatan dengan menggunakan jentera terbaik sebelum ke Kejohanan AFC B-19 Tahun melegakan Hodak yang memiliki masa lebih panjang meneliti pemain utamanya.

Sementara itu, penjaring tunggal negara ketika aksi berdepan skuad Qatar B-19, Nik Akif Syahiran Nik Mat, menganggap keberkesanan 60 minit dengan kedudukan terikat 1-1 di Qatar tempoh hari umpama petanda baik menjelang ujian sebenar di Jakarta nanti.

"Kami perlu mempertingkatkan lagi mutu bertahan dan kami mahu memperbaiki persembahan dalam dua aksi persahabatan sebelum menghadapi Kejohanan AFC di Jakarta nanti," kata Nik Akif.