'Kesimpulan mudah!', Ahli gabungan sahaja yang boleh menyelamatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk segera mematuhi proses akhir penswastaan yang akan tamat 30 September 2020.

Ada tindakan tegas daripada FAM jika 15 persatuan dan 6 kelab mengambil tindakan sambil lewa, hukuman berat bakal menanti mana-mana persatuan dan kelab yang gagal mematuhi tarikh akhir yang telah diumumkan.

"Turun ke Liga M3 dan pasukan yang tidak berstatus kelab tidak boleh beraksi dalam saingan Liga Super dan Perdana," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

FAM mengambil maklum dengan kehilangan hak mereka dalam mengeluarkan pengesahan penswastaan dan perlesenan jika tarikh akhir 30 September gagal dipatuhi.

"FAM telah bertegas dengan tarikh yang telah ditetapkan. Penelitian amat diperlukan bagi meneliti setiap dokumen yang diberikan kepada pihak FAM."

Perkara itu turut mencabar kewibawaan FAM, andai proses pengesahan perlesenan dan penswastaan diambilalih Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Tambah Stuart, "Betul apa yang dikatakan oleh Datuk Windsor Paul John (Setiausaha Agung AFC), mengenai hak Malaysia mendapatkan tempat di pentas Asia."

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersama FAM telah membuat taklimat rasmi dengan ahli gabungan, sebelum tirai liga kembali dibuka.

Difahamkan, penggubahan jadual juga antara intipati penting yang dibincangkan.

Apa yang pasti tarikh 26 Ogos dikekalkan namun ada perubahan jadual akan berlaku bermula pada perlawanan kedua, pengumuman rasmi bakal dikeluarkan esok.