Kapten Napoli, Marek Hamsik, memberi bayangan dirinya bakal meninggalkan pasukan selepas sekali lagi terlepas peluang untuk merampas gelaran Serie A daripada Juventus.

Walaupun Napoli mencatat kutipan 91 mata dalam musim cemerlang di bawah kendalian Maurizio Sarri, ia tidak mencukupi untuk menghalang Juve meraih gelaran ketujuh berturut-turut.

Sarri dikaitkan dengan jalan keluar dari San Paolo sambil Chelsea dilaporkan berminat dengan khidmatnya untuk menggantikan Antonio Conte dan Hamsik turut membayangkan dia juga akan meninggalkan Itali.

"Kami percaya kami mampu menjulang Scudetto pada tahun ini," kata Hamsik kepada Pravda.

"Saya kecewa kami terlepas trofi liga sekali lagi. Maaf, peminat berhak meraih kejayaan itu dan saya berterima kasih diatas segala sokongan yang mereka berikan.

"Saya meluangkan masa selama ini bersama pasukan dan memberikan sepenuh tenaga. Mungkin sudah tiba masa untuk mencari haluan berbeza dan saya mahukan cabaran baru."

Kelab Liga Super China, Shandong Luneng, baru-baru ini dikaitkan dengan khidmat Hamsik dan dikatakan bersedia dengan dana berjumlah EUR35 juta (RM163 juta) untuk membawa masuk pemain tengah itu.

Hamsik merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Napoli selepas mencatat 120 gol, melepasi jumlah 115 yang dipegang oleh legenda, Diego Maradona.