Hamidin serah kepada AFC buat keputusan 

Oleh Penulis Jemputan 29 September 2017 385
Hamidin serah kepada AFC buat keputusan 
Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menyambut baik jika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan aksi kelayakan Piala Asia 2019 di antara Korea Utara dan Malaysia diadakan di gelanggang berkecuali selepas pertemuan di Pyongyang itu pada Khamis depan tertangguh buat kali ketiga. 

Bagi Hamidin, FAM menyerahkan kepada AFC untuk menentukan negara mana yang akan menjadi gelanggang berkecuali buat aksi kelayakan Kumpulan B itu. 

Beliau turut menjangka AFC tidak akan lagi menunda aksi Korea Utara-Malaysia selepas ini dan jika sah perlawanan diadakan di gelanggang berkecuali, ia mungkin memberi hikmah buat skuad negara kendalian Nelo Vingada. 

"Sudah tentu kami memerlukan tiga mata ketika menentang Hong Kong untuk memastikan kami layak ke Piala Asia. 

"Pemain dan jurulatih patut mengambil kesempatan ini untuk mengadakan persiapan.

"Kami mungkin akan bertemu Korea Utara di gelanggang berkecuali kalau itu keputusan AFC. 

"AFC sedang mengkaji semua aspek untuk mengadakan perlawanan itu," katanya. 

Tambah Hamidin, FAM sebenarnya tiada masalah untuk beraksi di Pyongyang kali ini jika bukan kerana perintah larangan ke Korea Utara oleh Kementerian Luar Negara terhadap rakyat Malaysia. 

Malah, sebelum ini Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, turut memberi persetujuan buat skuad negara ke Pyongyang. 

"Kami sebenarnya telah pun membuat persiapan dan telah menghantar pegawai ke Korea Utara pada minggu lepas untuk meninjau kemudahan hotel dan sebagainya."

Selepas mengharungi dua perlawanan, skuad bola sepak negara hanya mampu meraih satu mata ketika seri menentang Hong Kong dan kini menghuni tangga tercorot kumpulan. 

Lubnan muncul pasukan paling konsisten apabila masih belum tewas dan kini meraih tujuh mata daripada tiga perlawanan. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen