Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mengumumkan hasratnya untuk terus memegang jawatan nombor satu badan induk itu, yang kini hanya berbaki selama setahun.

Menerusi satu temu bual eksklusif Nadi Arena hari ini, Hamidin turut menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai pencapaiannya selepas genap dua tahun menerajui FAM semalam.

"Apabila saya menjadi presiden pada 14 Julai 2018, saya tidak memikirkan sama ada saya berjaya atau tidak, yang penting saya memahami tentang kemahuan yang diperlukan untuk melangkah jauh di persada antarabangsa.

"Yang penting di FAM, kami perlu bergerak untuk mencapai cita-cita kami, terutama F:30, yang telah kami lancarkan.

"Biarlah orang yang menilainya. Jadi, saya dan barisan ahli jawatankuasa di FAM akan membuat yang terbaik untuk bolasepak negara ini," katanya.

Ditanya mengenai kelangsungan Liga Malaysia, yang direhatkan sejak Mac lalu berikutan pandemik Covid-19, Hamidin berkata: "Kalau dilihat, ada sebahagian pasukan yang ingin liga dimulakan dan ada sebahagian tidak mahu liga dijalankan. Ini membabitkan kewangan pasukan masing-masing tetapi bagi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) atau FAM, kami perlu mencari jalan tengah kerana selaku badan pengendali bola sepak, kami perlu memartabatkan bola sepak selain mengutamakan kesihatan.

"Apabila kami mengumumkan tarikh permulaan liga, mereka perlu mematuhinya.

"Mana-mana pasukan yang gagal dan terpaksa dikenakan tindakan, kami akan mengambil tindakan.

"Kerana kami memberikan ruang untuk pasukan yang bertanding dan kami tidak mahu berlaku kejam untuk bermula awal tetapi pasukan tidak bersedia.

"Kita kena faham, apa yang dikatakan itu betul (berkenaan kehilangan penaja).

"Saya telah berbincang dengan penaja, demi semangat kenegaraan dan kesukanan, kami perlu bekerjasama untuk mencari jalan tengah untuk perkara ini," katanya.

Berkenaan perancangan skuad kebangsaan menjelang perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di tempat lawan pada 8 Oktober depan, Hamidin menambah: "Sekiranya latihan bermula pada September sekalipun, belum tentu kita akan menang.

"UAE telah menamatkan liga (lebih awal) dan mereka masih belum memulakan latihan.

"Sudah pasti (ketua jurulatih) Tan Cheng Hoe mahukan latihan awal tetapi negara lain turut terkesan, macam UAE langsung tiada (saingan) liga.

"Mungkin AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) masih belum membenarkan untuk memulakan saingan pada Oktober depan dan mungkin akan ditunda ke bulan Januari atau Februari.

"Persoalannya, adakah kita yakin yang kita akan menang?

"Jadi saya berkata kepada Tan Cheng Hoe supaya bersedia untuk kejohanan itu," tambahnya.