Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mahu menjadi pelopor kejayaan bola sepak negara 10 tahun dari sekarang.

Walaupun hanya melewati tempoh setahun selaku presiden, beliau yang bermula daripada seorang pencinta bola sepak tanah air, kini penggerak utama hala tuju bola sepak negara.

Kecintaan presiden berusia 54 tahun itu untuk berbakti dengan bola sepak negara bukan perkara baru.

Siapa sangka apabila seorang individu yang bermula dari bawah, Hamidin kini peneraju utama untuk memastikan hala tuju bola sepak negara tidak lagi tergelincir.

Berada di kerusi utama FAM, ia bukan perkara yang pernah diimpikan anak jati Selangor itu.

Namun sebaik diberi mandat, Hamidin tampak sudah mula mengotakan janji walau hanya baru setahun bergelar presiden FAM.

"FAM perlu menetapkan dan mengadakan peta hala tuju yang bersesuaian dan F:30 terhasil bagi menentukan sasaran yang perlu dicapai dalam tempoh 12 tahun," katanya.

Hamidin, yang dipilih sebagai presiden bagi penggal 2018-2021 dalam Kongres FAM Ke-54 pada 14 Julai 2018, berjuang atas tiga perkara dasar -- pasukan kebangsaan, pembangunan bola sepak negara dan mengukuhkan kewangan FAM.

Pesona dan kesungguhannya dalam menentukan hala tuju bola sepak negara membuatkan ramai semakin percaya watak yang dibawa Hamidin mampu mencipta perubahan.

"Saya berasakan peminat dan orang ramai akan menilai kepimpinan saya sebagai presiden FAM. Saya telah dipilih oleh ahli gabungan dan menerusi sokongan setiap pihak," ujarnya.

Lima agenda baru yang diketengahkan FAM adalah antara idea dan pembaharuan yang dilakukan Hamidin.

Peta Hala Tuju F:30 yang merupakan perancangan 12 tahun FAM dilancarkan pada 31 Oktober tahun lalu yang turut mencanangkan sasaran dan kejayaan skuad negara dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Usaha Hamidin menyelaraskan pelan F:30 dengan projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) dengan membawa peranan cakna badan induk itu buat ahli gabungan, menjadikan FAM kini lebih bertanggungjawab.

Ia turut disempurnakan dengan tiga lagi agenda baru, iaitu pelancaran Liga Futsal Perdana Futsal Malaysia (MPFL), Piagam SUPARIMAU FAM dan yang terbaru, DNA Bolasepak Malaysia.

"Semua penyokong mahu melihat skuad kebangsaan berjaya dan inisiatif mendapatkan barisan pemain naturalisasi merupakan langkah jangka masa pendek bagi kami mencapai sasaran yang ditetapkan," tambahnya.

Pembawaan Hamidin dalam FAM mula diterima dan ramai yang sudah mula memahami menerusi pendekatan yang dilakukannya.

Semoga perancangan rapi ini terus menjadi agenda utama FAM -- demi kepentingan bola sepak bersama.

Masih berbaki tiga penggal, pemerhati bola sepak Malaysia mahu melihat lebih banyak pembaharuan dan kejayaan, khususnya untuk bola sepak negara.