Tangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM ibarat terikat dalam menangani isu tunggakan gaji jika pemain, pegawai atau jurulatih mengambil pendekatan kunci mulut.

Walaupun Liga Malaysia bagi musim 2020 hanya akan membuka tirai malam ini, beberapa pasukan dalam Liga Super dan Liga Perdana masih terpalit dengan isu tunggakan gaji.

Lebih membimbangkan, terbit kisah berbeza daripada individu yang terkesan dengan isu itu serta pengurusan masing-masing dalam laman sosial dan laporan media.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, menegaskan agar mereka yang terbabit tampil bersuara memandangkan badan induk bola sepak negara ini hanya boleh mengambil tindakan berdasarkan laporan rasmi.

"Bukan amaran. Pemain dan pegawai patut bertindak cara betul, memaklumkannya kepada FAM. Jadiu, untuk kami menekan pasukan tersebut, saya tidak pasti mungkin ada perbincangan dalam pasukan itu, kalau betul tidak bayar, ia perlu dilunaskan. Namun, jika pemain atau pegawai tidak melaporkannya, kami fikir tiada masalah. Saya tidak pasti kerana apabila semak, tiada sebarang aduan," katanya.

Antara siasatan FAM yang sedang aktif kini bertumpu kepada Terengganu FC membabitkan tunggakan gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ia disebabkan skuad Pantai Timur itu tidak berada dalam senarai hitam pasukan yang memiliki masalah kewangan.

"Pertama, apabila saya dimaklumkan media dua hari lalu, saya telah meminta Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, untuk melihat tentang perkara ini. Saya lihat daripada pelesenan kelab, jelas tiada masalah. Saya takut ada pemain atau pegawai yang tidak bayar tetapi tidak laporkan kepada FAM dan kami tidak tahu. Kalau ikut rekod FAM, memang tiada."