Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, memberikan jaminan perjalanan skuad Tan Cheng Hoe dalam kelayakan Piala Asia 2023 tidak akan terganggu.

Ini kerana sekiranya Harimau Malaya tidak diberikan kelonggaran oleh kerajaan untuk menjalani baki tiga perlawanan, hasrat untuk layak ke pentas Piala Asia 2023 hanya tinggal mimpi.

Atas dasar misi negara, aksi kelayakan yang menuntut Harimau Malaya bertandang kedua negara terlibat iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam selain Malaysia juga perlu melayan kunjungan Thailand.

Perkara itu sudah dimaklumkan pihak FAM sejak sebulan lalu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung keperluan aksi kelayakan tersebut.

Hamidin tidak mahu skuad negara berputih mata memandangkan mereka memiliki peluang cerah untuk melangkah ke saingan Piala Asia 2023.

"Saya akan memastikan skuad negara akan beraksi dalam setiap perlawanan kelayakan ini," kata Hamidin.

Pelan kedua Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang memungkinkan aksi berpusat Jun ini jika saingan kelayakan pada bulan Mac gagal berlangsung sedikit sebanyak memberi kelegaan.

"Tidak mustahil saingan berpusat pada bulan Jun akan dijalankan, jadi saya berharap setiap pemain Harimau Malaya sentiasa berada dalam tahap terbaik dan bersedia bagi menghadapi perlawanan ini."