ENGLAND 0 BRAZIL 0

Gareth Southgate percaya England kini mempunyai asas untuk terus diperbaiki selepas seri tanpa jaringan dengan Jerman dan Brazil di Stadium Wembley dalam aksi ujian.


Berdepan dua pasukan teratas ranking dunia itu, Southgate gembira dengan persembahan anak buahnya yang berdaya tahan tatkala mereka mencari asas yang kukuh menjelang Piala Dunia, tahun depan.

Joe Gomez mempamerkan aksi pemain terbaik perlawanan dalam penampilan sulungnya yang membuatkan Brazil berdepan kesukaran menembusi tembok tuan rumah yang menerapkan sistem 3-5-2, semalam.

England juga hampir meraih kemenangan, namun Dominic Solanke yang membuat kemunculan pertama gagal menyempurnakan peluang terhidang pada penghujung permainan.

"Kami mempunyai rekod pertahanan terbaik dalam kelayakan Eropah, kini kami telah bertemu dua pasukan terbaik di dunia tanpa dibolosi, ia memberi kami sesuatu untuk dibina," kata Southgate kepada ITV Sport.

"Kami tahu keperluan untuk menjadikannya lebih baik apabila menguasai bola pada malam ini -- saya fikir kami agak gugup dengannya -- dan ketika kami menyerang, separuh daripada peluang itu hampir memenangkan kami. Itulah asas buat kami untuk terus berusaha," tambahnya.

Selepas kehilangan tonggak utama, Southgate terpaksa mengeluarkan Ruben Loftus-Cheek pada babak pertama akibat kecederaan belakang.

Bagaimanapun, dia tetap bangga dengan cara pasukannya yang tetap utuh sungguhpun berdepan skuad utama Brazil.

"Saya melihat kesungguhan, daya tahan dan semangat," kata Southgate.

"Pemain muda cuba melancarkan serangan, kami sukar melakukan pergerakan sebagaimana dalam perlawanan terdahulu. Sebelum ini (ketika menentang Jerman), kami menunjukkan kualiti yang sangat bagus dengan bola dan kehebatan pertahanan.

"Malam ini pula kami menunjukkan daya tahan, keberanian dan beberapa persembahan pertahanan yang sangat baik untuk menentang pasukan handalan. Saya sangat bangga dengan apa yang dilakukan oleh pasukan ini," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, England FA mengatur pertemuan dengan Belanda dan Itali sebagai aksi pemanas badan terakhir sebelum ke Russia 2018.