Gadis setaman menjadi pilihan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, sebagai teman hidupnya apabila mengahwini Farah Nadia Mohamad, hari ini.

Majlis perkahwinan pasangan itu yang diadakan di Kelab Golf Diraja Perak (RPGC) turut dimeriahkan dengan kehadiran sebahagian besar pasukan The Bos Gaurus, termasuk jurulatih, Mehmet Durakovic, dan pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah.

Turut hadir bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Hafizul, 25 berkata, pasangannya itu adalah cinta hati sejak zaman persekolahan lagi dan sudah 10 tahun mengenali Nadia sebelum membuat keputusan mengikat pertunangan tahun lalu dan melangsungkan perkahwinan selepas tempoh setahun.

"Alhamdulillah majlis semalam (nikah) dan hari ini berjalan lancar.

"Perkenalan kami lebih 10 tahun, saya kenal dia sejak dari tingkatan empat lagi, dari zaman saya tiada apa-apa, susah atau senang dan saya rasa saya tidak salah buat pilihan untuk jadikan dia sebagai isteri," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, walaupun persediaan untuk majlis bersejarahnya itu banyak dibuat pada saat-saat akhir susulan pembabitannya dalam Piala Suzuki AFF 2018 yang berakhir 15 Disember lalu, dia bersyukur semuanya berjalan lancar.

Sementara itu, menceritakan bibit perkenalan dan percintaannya Nadia, 24 yang bekerja di sebuah syarikat swasta, berkata mereka sudah mengenali satu sama lain sejak kanak-kanak lagi, namun lebih rapat ketika zaman sekolah menengah.

"Kami sebenarnya tinggal di taman perumahan yang sama dan satu tadika juga dahulu, namun hanya rapat di zaman sekolah menengah masa dia di tingkatan empat.

"Selalu jumpa selisih tepi jalan, saling bertentang mata dan sejak itulah jatuh hati," katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Chemor manakala Hafizul di SMK St Michael, Ipoh.

Menurutnya, dia akan sentiasa menyokong Hafizul dalam kerjayanya sama ada ketika dia menang atau kalah dan bantu menenangkannya jika alami tekanan selain berharap suaminya itu terus berjaya dalam bola sepak.