Teka-teki mengenai kedudukan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy bersama juara Piala Malaysia itu bagi musim 2019 berakhir apabila penjaga gol itu mengesahkan akan terus bersama pasukan Perak selama dua musim lagi.

"Saya sudah memeterai ikatan sehingga 2020 bersama Perak," kata Hafizul di majlis perkahwinannya di Ipoh, hari ini.

Pemain kebangsaan berusia 25 tahun itu menikahi Farah Nadia Mohamad, 24 di Taman Klebang Ria, semalam dan mengadakan resepsi hari ini.

Hafizul mengakui bercadang berhijrah menyertai pasukan lain di liga luar negara, namun perkara itu tidak menjadi kenyataan dan membuat keputusan kekal bersama The Bos Gaurus.

"Tawaran memang ada dari luar negara tetapi perancangan di pihak pasukan berkenaan (kelab Thailand) tidak menjadi dan saya ambil keputusan kekal bersama Perak," katanya.

Bercakap mengenai persediaannya dan pasukan bagi mengharungi saingan musim depan, Hafizul yakin Perak mampu merebut kejuaraan Liga Super dan Piala FA dengan kekuatan pasukan di bawah bimbingan jurulatih, Mehmet Durakovic.

"Saya lebih suka status sebagai pasukan bukan pilihan kerana penyokong tidak terlalu bergantung harapan terhadap pasukan kita dan ini yang berlaku musim lalu hingga kami berjaya ke perlawanan akhir dan menjuarai Piala Malaysia.

"Namun melihat perancangan jurulatih Mehmet yang mengekalkan sebahagian besar skuad musim lalu, saya rasa perkara ini sepatutnya menjadi kekuatan pasukan kerana kekuatan Perak selama ini adalah kami macam adik-beradik dan keluarga.

"Jika ada pemain baru, untuk dapatkan keserasian agak susah, jadi saya rasa perancangan jurulatih amat bagus dalam mengekalkan kekuatan pasukan ini musim depan," katanya.

Ditanya sama ada status sebagai juara Piala Malaysia memberi tekanan dalam saingan musim depan, Hafizul mengakui tekanan pasti ada, terutama bagi dirinya sendiri hingga melakukan kesilapan dalam final Piala Malaysia dengan Terengganu.

"Setiap pasukan dan pertandingan ada tekanan, saya sendiri sebagai penjaga gol memang sering alaminya, contohnya final Piala Malaysia lalu di mana dua kesilapan saya buat yang sebabkan kami bolos dua gol dan saya harap benda itu tidak berlaku lagi pada saya tahun depan.

"Sasaran kami musim depan akan cuba dapatkan gelaran juara Liga Super dan Piala FA," katanya.

Hafizul juga berpendapat tiada masalah bagi Perak mengharungi saingan liga dengan hanya menggunakan empat pemain import kerana pasukan itu menghadapi keadaan hampir sama musim lalu dengan hanya menggunakan tiga pemain import dalam separuh kedua musim.

"Bagi saya, itu satu perkara yang bagus kerana dengan menggunakan hanya empat pemain import, maknanya akan ada lebih pemain tempatan, ramai yang bagus dan berkebolehan," katanya.