"Ini antara detik paling pahit dalam karier saya." Demikian perasaan yang diungkap penjaga gol negara, Hafizul Hakim Khairul Nizam, yang terlalu terkilan apabila gagal untuk menghalang kekalahan terbesar 4-1 kepada Korea Utara dalam pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand, malam tadi.

Ironinya, penampilan keempatnya bersama skuad negara memperlihatkan empat kali gawang negara bocor dalam perlawanan Kumpulan B itu.

Antaranya, dia ditewaskan sekali melalui sepakan penalti dan dua melalui sepakan percuma, malah hampir tertewas melalui jaringan sendiri rakan sepasukan, Wan Zack Haikal Wan Noor, pada minit ke-38. Justeru, dia berharap mampu melupakan segera kekalahan ini.

"Ini memang sesuatu yang susah nak diterima. Oleh itu, saya perlu bersedia dengan lebih baik lagi selepas ini," katanya.

Sebagai pemain muda, Hafizul tidak menafikan beberapa rakannya juga sedikit gugup untuk berdepan kekuatan fizikal lawan.

Dia berharap mereka mampu bangkit dalam aksi seterusnya sambil meminta peminat untuk terus memberikan ruang kepada mereka untuk bangkit dalam aksi timbal balik, Isnin ini.

"Sebagai pemain muda, ia memberi sedikit masalah kepada saya. Sedikit-sebanyak saiz fizikal mereka mengganggu saya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan itu.

Menerusi satu perkongsian di laman Facebook, Tunku Ismail berkata beliau akan mengadakan satu mesyuarat bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo, bagi penambahbaikan pasukan kebangsaan dalam segala aspek sebaik kembalinya mereka dari Buriram.

Beliau menegaskan segala keinginan rakyat akan cuba dilaksanakan yang merujuk kepada kejayaan Harimau Malaya selain akan terus memegang amanah meningkatkan mutu bola sepak negara sekiranya masih diperlukan.