Hadi sedia dipanggil Kim Swee

Oleh Penulis Jemputan 10 November 2017 1598
Hadi sedia dipanggil Kim Swee
Penyerang skuad B-19 negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, sedia menyahut panggilan Datuk Ong Kim Swee untuk membarisi skuad B-22 kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan AFC bawah 23 tahun di China, Januari depan.

Hadi sebelum ini dilaporkan berada dalam pemantauan Kim Swee untuk disenaraikan dalam skuad akhir selepas pemain berusia 17 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang sepanjang bersama skuad kendalian Bojan Hodak.

Prestasi itu diteruskan ketika kempen kelayakan Kejohanan AFC bawah 19 tahun di Paju, Korea Selatan baru-baru ini, apabila Hadi menjaringkan tiga gol selain membantu kemaraan skuad negara ke pusingan akhir, tahun depan.

“Jika dipanggil, pasti saya sangat gembira dan bersyukur. Sudah tentu saya akan berikan aksi terbaik.

“Alhamdulillah saya dapat menjaringkan tiga gol di Korea tetapi banyak lagi yang perlu diperbaiki,” kata Hadi.

Sebelum ini, Muhammad Akhyar Rashid merupakan pemain tunggal skuad B-19 yang bersama skuad kendalian Kim Swee untuk menghadapi saingan Sukan SEA, Ogos lalu.

Kelibat Hadi tampak ditagih Kim Swee selepas dia kehilangan khidmat penyerang, S. Kumaahran, yang terpaksa diketepikan ekoran mengalami kecederaan ligamen lutut.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen