Penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, mencipta sejarah menjadi pemain pertama Malaysia beraksi dalam liga divisyen 2 Jepun.

Hadi sah menandatangani kontrak setahun bersama pasukan Fagiano Okayama yang beraksi dalam liga J2 Jepun, hari ini.

Dia berjaya menambat hati pihak pengurusan pasukan itu menerusi dua sesi ujian pada September dan bulan lalu.

Bagi Hadi, 18, usaha keras dan pengorbanannya selama ini berbaloi sebaik sah menyarung jersi Fagiano Okayama.

"Saya sudah berusaha keras dan membuktikan kemampuan kepada barisan kejurulatihan di sini untuk menyarung jersi Fagiano Okayama.

"Tiada jalan mudah untuk meraih kejayaan melainkan dengan berusaha keras.

"Saya akan mengekalkan prestasi terbaik bagi terus mendapatkan kepercayaan jurulatih di sini," katanya.