Keikhlasan Hadi Fayyadh Abdul Razak memburu impian berkelana di Jepun akan membuka pintu kepada pemain lain untuk mengikut jejak langkahnya menerusi pengaruh Yakult Malaysia.

Antara individu yang menjadi sandaran Hadi adalah Hiroshi Hamada, Pengarah Urusan Yakult Malaysia.

Menerusi Hamada, skuad B-18 tahun negara memperoleh peluang beraksi dalam Piala Sanix 2018, kejohanan bola sepak remaja antarabangsa yang berlangsung Mac lalu.

Prestasi Hadi sepanjang kempen Malaysia di Fukuoka waktu itu memadai untuk meyakinkan Hamada dan Yakult Malaysia.

"Hadi telah bermain dengan baik dalam Piala Sanix. Dia telah berjaya memberikan saingan berdepan barisan pemain muda di Jepun. Saya percaya jika Hadi terus berlatih di Malaysia akan meningkatkan lagi mutu permainannya sekali gus membantu skuad Malaysia," kata Hamada.

Hamada juga berpandangan penampilan Hadi dalam saingan Liga J2 bersama Fagiano Okayama akan membuka pintu kepada pemain lain mengikut jejak langkahnya menerusi pengaruh Yakult Malaysia.

"Hadi telah membuka mata setiap pemain Malaysia untuk beraksi di sini. Saya berharap lebih ramai pemain Malaysia akan cuba menyertai saingan bola sepak di Jepun."

Yakult memainkan peranan tersendiri dalam menyumbang kepada pembangunan sukan negara sebagai penaja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Institut Sukan Negara (ISN).