Penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, mahu membuka mata Asia kepada kemampuan bakat dari Malaysia menerusi pengembaraan bersama kelab liga divisyen 2 Jepun, Fagiano Okayama.

Kemampuan Hadi menambat hati kelab itu selepas menempuh dua latihan percubaan adalah sesuatu yang menakjubkan.

Bagaimanapun, dia menyedari misi utama adalah untuk memastikan tidak sekadar menjadi pemanas bangku simpanan.

Atas dasar itu, Hadi berasakan program pra-musim Fagiano adalah peluang untuknya terus mencuri tumpuan.

"Saya perlu berusaha dengan lebih gigih dalam sesi latihan dan aksi persahabatan bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama," katanya.

Hadi pada masa sama menegaskan cabaran pertama sebelum permulaan musim adalah di luar padang menerusi keperluan memastikan dirinya fasih berbahasa Jepun secepat mungkin.

"Bahasa Jepun adalah perkara yang penting kerana ia akan membantu saya berkomunikasi dengan pemain dan jurulatih pasukan," ujarnya.