Hadi Fayyadh, Yakult sumbang RM60,000 bantu pesakit kanser

Oleh Bernama 5 Mei 2020 431
Hadi Fayyadh, Yakult sumbang RM60,000 bantu pesakit kanser
Meskipun berada beribu batu jauh dari tanah air, penyerang skuad B-22 negara, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak, tetap melaksanakan tanggungjawab sosialnya dalam membantu mereka yang memerlukan di Malaysia.

Terkini, pemain kelab Fagiano Okayama berusia 20 tahun itu bersama Yakult Malaysia Sdn Bhd menyumbang dana berjumlah RM60,000 bagi membantu kanak-kanak pesakit kanser di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Sumbangan itu diberikan melalui Persatuan Sokongan Kanser kanak-Kanak PPUKM (CAKNE).

“Saya berharap agar sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan beban perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh ibu bapa setiap kanak-kanak ini apatah lagi dalam keadaan semasa, semua pihak tidak berada dalam keadaan begitu senang disebabkan pandemik Covid-19.

“Tambahan pula, tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilftiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Yakult Malaysia Sdn Bhd, Hiroshi Hamada, menyatakan bahawa sumbangan itu, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), akan diteruskan selama setahun.

“Kami memilih CAKNE kerana bersimpati dengan nasib kanak-kanak penghidap kanser. 
"Kami juga telah membuat perancangan untuk menjalankan program bersama Hadi Fayyadh untuk kanak-kanak terlibat pada penghujung tahun ini. Ia mungkin dapat menceriakan hati mereka,” katanya.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen