Hadi Fayyadh, Shivan diberi peluang bukti kemampuan 

Oleh Penulis Jemputan 1 Disember 2017 932
Hadi Fayyadh, Shivan diberi peluang bukti kemampuan 
Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Kim Swee, tidak menolak kemungkinan untuk menyenaraikan dua pemain muda berusia 17 tahun, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan A. Shivan Pillay, dalam barisan akhir negara ke Kejohanan AFC B-23 di China, awal bulan depan. 

Mereka berdua adalah antara muka baru dalam skuad B-23 negara dan dilihat berpeluang merebut tempat dalam pasukan. 

Tegas Kim Swee, faktor umur yang masih mentah bukan menjadi halangan, malah ia perkembangan baik kepada masa depan bola sepak negara. 

Jika mereka berdua mampu memenuhi kriteria yang dimahukan, dia bersedia memberi peluang kepada Hadi Fayyadh dan Shivan. 

"Saya percaya, Hadi terutamanya memiliki fizikal yang baik dan mampu bersaing dengan pemain berusia 23 tahun. 

"Pada masa sama, ia akan memberi pendedahan dan pengalaman yang baik apabila mereka bersama pasukan B-19 nanti," ujarnya. 

Selain itu, Kim Swee tidak melihat kekurangan pengalaman sebagai alasan mereka berdua tidak berpeluang untuk terpilih ke China. 

Sebaliknya, enam aksi persahabatan akan menjadi medan penilaian terbaik dalam pemilihan senarai akhir skuad itu. 

"Saya percaya mereka akan bertambah baik dalam satu demi satu perlawanan. Kita tidak boleh anggap mereka adalah pemain utama, mungkin mereka akan dimasukkan bagi menggantikan pemain-pemain tertentu mengikut strategi yang kami inginkan," tambahnya. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen