Pengendali skuad bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, tidak menolak kemungkinan memanggil penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, untuk Kejohanan AFC B-23 Tahun di China, Januari depan.

Sebelum ini, Akhyar Rashid merupakan pemain tunggal skuad B-19 tahun yang bersama skuad kendalian Kim Swee untuk menghadapi saingan Sukan SEA, Ogos lalu.

Kim Swee turut menghantar penolongnya, Brad Maloney, untuk memantau prestasi Hadi, Akhyar serta beberapa pemain lagi dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 tahun yang sedang berlangsung di Paju, Korea Selatan.

"Ada beberapa nama yang masih dalam penilaian dan mereka masih mempunyai satu lagi perlawanan menentang Korea Selatan. Mereka akan mengharungi perlawanan penting ini sebelum saya memutuskan senarai akhir selewat-lewatnya minggu depan," katanya.

Bagi Kim Swee, pembabitan pemain muda seperti Hadi dan Akhyar dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 Tahun turut menjadi pendedahan penting buat mereka.

Memandangkan peluang skuad kendalian Bojan Hodak kini amat cerah ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 Tahun, pembabitan Hadi dan Akhyar dalam Kejohanan AFC B-23 Tahun akan turut membantu skuad muda negara itu.

"Apabila kita layak tidak kira peringkat umur mana sekalipun dalam Kejohanan AFC, ia akan memberikan satu pendedahan yang cukup baik. Jika pasukan B-19 layak ke pusingan akhir kejohanan itu, ia juga akan membantu daripada segi pembangunan pemain muda kita," katanya lagi.