Erling Haaland mengucapkan terima kasih kepada Salzburg selepas membantu perkembangannya sambil menyifatkan kelab itu sebagai persekitaran yang sempurna untuk belajar tatkala dia bersedia untuk meneruskan karier di Borussia Dortmund.

Selepas spekulasi mengenai masa depannya menjadi tumpuan, termasuk dikaitkan untuk ke Juventus, Manchester United dan RB Leipzig, penyerang Norway itu bersetuju untuk menyertai Dortmund menerusi perjanjian sehingga penghujung musim 2023-24.

Perpindahan itu bermakna dia hanya menghabiskan masa setahun di Salzburg, di mana dia menyinar di peringkat domestik dan Eropah, termasuk menghasilkan jaringan dalam lima penampilan pertama di peringkat kelayakan Liga Juara-Juara Eropah.

Walaupun berhijrah, pemain muda itu menegaskan dia akan sentiasa mengingati tempohnya bersama kelab Austria, Salzburg, yang mendapatkannya daripada Molde.

"Setakat ini, perpindahan saya ke Salzburg merupakan keputusan terbaik dalam hidup saya," katanya.

"Banyak perkara berlaku tahun lalu, ia sukar dipercayai. Saya meraih peluang untuk belajar dalam persekitaran yang sempurna dalam tempoh yang singkat. Saya sangat bersyukur dengan semua yang berada di dalam kelab itu atas pencapaian ini.

"Saya berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan dan mengucapkan selamat maju jaya buat semua yang berada di Salzburg.

"Untuk saya, perjalanan diteruskan di Dortmund tetapi saya akan sentiasa mengingati Salzburg dengan kegembiraan."

Haaland akan menyertai rakan sepasukan barunya di Dortmund, Jumaat ini ketika rehat pertengahan musim di Jerman.

Pengarah Sukan Salzburg, Christoph Freund, berkata: "Sukar dipercayai bagaimana Haaland berkembang bersama kami dengan pencapaian yang menakjubkan.

"Kami berbangga dapat membawa seorang lagi pemain muda kepada tahap prestasi sebegini."


Editor: Nafis Abdullah