Erling Haaland merupakan penggempur terbaik dalam kotak penalti di Eropah dan berupaya mengetuai senarai pemain berbakat untuk masa depan, kata rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Norway, Havard Nordtveit.

Selepas mencuri tumpuan hasil persembahan cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah bersama Salzburg, Dortmund mengaktifkan klausa perpindahan penyerang itu untuk membawanya ke Bundesliga.

Pemain berusia 19 tahun itu mengekalkan rentak hebat, meledakkan 12 gol dalam 11 penampilan, di mana tujuh daripadanya hasil daripada kesebelasan utama bagi semua kejohanan buat BVB sebelum wabak coronavirus menyebabkan saingan di Eropah ditangguhkan.

Nordtveit -- yang turut beraksi dalam Bundesliga bersama Hoffenheim -- menjangkakan Haaland dapat mengekalkan ketajamannya hasil daripada disiplin di luar padang.


"Dia telah pun menjadi salah seorang penggempur terbaik dalam kawasan penalti. Dia juga sangat profesional, fokus kepada banyak perkara seperti pemakanan dan waktu tidur," katanya.

"Dia melakukan segalanya untuk menjadi pemain terbaik dunia. Ia berhasil.

"Dia telah pun mencipta sensasi. Anda sukar mengekangnya. Berikan dia tempoh beberapa tahun. Jika dia boleh gunakan fizikalnya, lebih sukar untuk mana-mana pertahanan dalam Bundesliga atau liga lain.

"Haaland juga bukan bintang dalam bilik persalinan. Dia tetap menjadi diri sendiri dan individu yang hebat."