Permulaan cemerlang Erling Haaland di Borussia Dortmund berterusan semalam apabila dia menjaringkan dua gol ketika membantu pasukan menang 5-0 ke atas Union Berlin.

Dua jaringan itu menyaksikan dirinyua menjadi pemain pertama dalam sejarah Bundesliga untuk menjaringkan tujuh gol dalam tiga penampilan pertama dalam pertandingan tersebut.

Apa yang menakjubkan, setiap percubaan pertama penyerang itu dalam saingan Bundesliga berakhir dengan jaringan.

Pemain berusia 19 tahun itu meledak hatrik dalam penampilan sulung berdepan Augsburg bulan lalu selepas diperkenalkan sebagai pemain gantian pada minit ke-56 setelah berhijrah daripada Salzburg.

Dia meneruskan rentak cemerlang dengan dua gol ketika meraih kemenangan 5-1 ke atas Cologne, 24 Januari lalu selepas hadir ke dalam perlawanan yang berbaki 25 minit.

Haaland turun dalam kesebelasan utama berdepan Union Berlin dan membalas kepercayaan jurulatih, Lucien Favre, dengan menjaringkan dua gol, sekali gus membantu pasukan mengejar pendahulu, Bayern Munich, yang berkelebihan tiga mata.



Editor: Ammar Hakim