Erling Haaland berterima kasih kepada wira hatrik Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe, kerana menginspirasikannya untuk menjaringkan gol berganda buat Borussia Dortmund ketika menewaskan Sevilla dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Haaland tidak berhenti daripada menjaringkan gol dalam kejohanan kelab elit Eropah itu dengan menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama ketika Dortmund meraih kemenangan 3-2 dalam perlawanan pertama pusingan 16 itu -- merekodkan 18 gol daripada 13 penampilan UCL.

Pemain berusia 20 tahun itu menjaringkan 41 gol daripada 42 perlawanan dalam kesemua kejohanan sejak menyertai kelab Jerman itu daripada pasukan Austria, Salzburg, pada 2019.

Walaupun dikaitkan untuk menyertai Real Madrid dan Manchester City, prestasi cemerlangnya tidak terjejas untuk kekal prolifik di depan gawang.

Selepas menyaksikan Mbappe mengaibkan Barcelona ketika PSG meraih kemenangan 4-1 di Camp Nou semalam, Haaland menggunakan prestasi luar biasa bintang Perancis itu sebagai motivasi untuk dia menjaringkan gol.

"Amat baik apabila menjaringkan gol. Saya menggemari UCL dan apabila saya melihat Mbappe menjaringkan hatrik semalam, saya mendapat motivasi, jadi terima kasih kepadanya.

"Saya melihat aksi Mbappe semalam, dia menjaringkan gol yang cantik dan saya mendapatkan semangat secara percuma daripadanya," katanya.

Dengan menjaringkan golnya yang ke-10 daripada tujuh penampilan bersama Dortmund dalam UCL, Haaland menjadi pemain terpantas merekodkan jumlah itu dalam sejarah kejohanan berkenaan dengan mengatasi rekod terdahulu milik Roy Makaay, yang menjaringkan 10 gol daripada 10 penampilan bersama Bayern Munich dalam musim 2003-04.

Haaland juga menjadi pemain kelima merekodkan jaringan berganda dalam tiga perlawanan UCL berturut-turut untuk menyertai Filippo Inzaghi, Giovane Elber, Robert Lewandowski dan Cristiano Ronaldo -- Ronaldo melakukannya sebanyak tiga kali dalam musim berbeza.