Penyerang Borussia Dortmund, Erling Haaland, menyasarkan untuk kembali berbakti kepada majikannya secepat mungkin selepas menerima berita baik berhubung kecederaan hamstring yang menghantuinya.

Bintang Norway itu diketepikan ketika diikat 1-1 oleh Lazio dalam Liga Juara-Juara (UCL), kelmarin, apabila mula dihimpit masalah berkenaan dalam sesi latihan dan pengurus Dortmund, Lucien Favre, percaya ia didorong oleh pembabitannya dalam banyak perlawanan.

Dia tampil 14 kali buat jaguh Bundesliga itu termasuk membuat 13 permulaan dengan 17 jaringan.

Ketiadaan tonggak berusia 20 tahun itu dalam pertemuan terbabit menafikan hasratnya untuk terus memahat nama dalam rekod UCL.

Dia telah menyumbat 16 di pentas itu dengan purata satu gol dalam setiap 56 minit, satu catatan terbaik berbanding pemain lain yang telah mencetak 10 gol dalam pertandingan itu.

Dia dijangka perlu berehat hingga bulan depan dan perkembangannya berjalan dengan lancar apabila bekas pemain Salzburg itu menulis di Twitter: "Berita baik! Baru bercakap dengan doktor. Akan kembali tidak lama lagi."



Dortmund kini empat mata dipisahkan dengan pendahulu Bundesliga, Bayern Munich, dan akan berdepan Eintracht Frankfurt, Stuttgart, Werder Bremen serta Union Berlin sebelum hujung tahun ini.

Mereka juga bakal bertandang ke Eintracht Braunschweig dalam pusingan kedua DFB-Pokal selain pertemuan dengan Zenit dalam aksi terakhir peringkat kumpulan UCL.

Haaland, yang meledak 16 gol dalam 18 penampilan di Jerman musim lalu, berdepan kembali memperkuatkan Dortmund apabila bertemu RB Leipzig pada 9 Januari depan, iaitu enam hari selepas mereka memulakan aksi sempena 2021 dengan berdepan Wolfsburg.

Dortmund, bagaimanapun, masih menerima perkhabaran menarik apabila pertahanan tengah, Mats Hummel, dijangka hanya perlu berehat dalam masa masa singkat selepas keadaan pergelangan kakinya perlu diberi perhatian ketika menghadapi Lazio.