Haaland benar-benar luar biasa, akan jadi lebih baik -- Nagelsmann

Oleh Muzaffar Musa 10 Januari 2021 356
Haaland benar-benar luar biasa, akan jadi lebih baik -- Nagelsmann
Julian Nagelsmann percaya Erling Haaland akan menjadi lebih baik selepas pasukannya, RB Leipzig, tidak dapat mengekang penyerang muda berbakat Borussia Dortmund itu.

Haaland menjaringkan dua gol selain turut terlibat dengan jaringan pembukaan Jadon Sancho ketika Dortmund menewaskan Leipzig 3-1 dalam perlawanan Bundesliga awal pagi tadi, yang turut menyaksikan pasukan kendalian Nagelsmann itu terlepas peluang untuk memintas Bayern Munich di tangga teratas.

Jaringan berganda itu menyaksikan Haaland merekodkan 25 gol daripada 25 perlawanan Bundesliga, di mana 20 daripadanya sebagai kesebelasan utama. Dia juga merekodkan 34.3 peratus keberkesanan daripada setiap percubaan yang dilakukannya.

Lawan BVB itu turut tertarik dengan prestasi Haaland selepas meninggalkan Salzburg dan ketua jurulatih mereka, Nagelsmann, mengakui perlawanan terbaru itu adalah bukti mengapa penyerang berkenaan amat didambakan kelab-kelab elit.

Dia juga berasakan pemain berbakat selain Haaland di Dortmund telah menjadikan pasukan itu sukar untuk dibendung mana-mana lawan.

"Kami mungkin dapat mengawal Haaland tetapi tidak jika pemain di sekelilingnya memperoleh ruang yang besar dalam situasi satu lawan empat," kata Nagelsmann.
 
"Sudah pasti, dia penyerang yang luar biasa -- kerana itulah kami juga mahukannya tetapi Dortmund yang mendapatkannya.

"Saya fikir dia telah menjaringkan 25 gol daripada 25 perlawanan Bundesliga atau sesuatu seperti itu. Ia sesuatu yang luar biasa. Statistik yang sukar dipercayai," katanya.

Haaland juga menjaringkan dua gol ketika kedua-dua pasukan itu bertemu pada penghujung musim lalu.

Nagelsmann menambah: "Ia bukan jaringan pertamanya ke atas kami. Dia mempunyai kualiti yang serius dan masih muda.

"Jadi, saya fikir saya tidak boleh menilainya hanya sebagai pihak lawan tetapi dia sudah pasti mempunyai potensi untuk berkembang. Dia akan menjadi lebih baik.

"Dan liga ini akan memperoleh lebih kegembiraan dengan kehadirannya. Tapi bukan untuk lawannya," katanya lagi.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen