Guti mahu Madrid beli Neymar, Mbappe, persenda Griezmann di Barca

Oleh Muzaffar Musa 22 Oktober 2020 5823
Guti mahu Madrid beli Neymar, Mbappe, persenda Griezmann di Barca
Legenda Real Madrid, Guti, berkata dia akan menandatangani gandingan Paris Saint-Germain (PSG), Neymar dan Kylian Mbappe, untuk skuad Los Blancos itu sambil mempersendakan kehadiran Antoine Griezmann di Barcelona.

Juara LaLiga, Real Madrid, sedang hangat dikaitkan untuk mendapatkan bintang PSG, Mbappe, yang kontraknya di Paris akan tamat pada penghujung musim 2021-22.

Neymar, yang meninggalkan Barcelona untuk menyertai PSG dengan rekod perpindahan termahal dunia €222 juta (RM1.09 bilion) pada 2017, turut dikaitkan untuk ke Madrid.

Ketika Madrid sedang mempersiapkan diri bagi berdepan seteru tradisi, Barca, dalam pertemuan Clasico di Camp Nou hujung minggu ini, Guti bercakap mengenai Neymar dan Mbappe sambil mengusik Griezmann, yang beregelut untuk membuktikan keupayaannya di Barca sejak tiba daripada Ateltico Madrid tahun lalu.

"Saya akan menandatangani Neymar dan Kylian Mbappe buat Real Madrid dan untuk Barcelona, saya tidak akan menandatangani sesiapa hanya untuk mengekalkan Griezmann," kata Guti, 43, sambil berhilai tawa membincangkan pertemuan klasik itu.

"Terdapat ramai pemain hebat tetapi saya mahu menyaksikan pemain muda.

"Sudah pasti akan ada Ansu Fati di Barcelona dan Vinicius (Junior) di Real Madrid (yang boleh memberikan impak dalam perlawanan itu).

"Mereka pemain yang amat berbakat yang akan mendatangkan sesuatu yang besar buat LaLiga," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen